IWK Eco Park, Pantai Dalam, 13 Julai 2025 – Karnival Sukan Ansara 2025 (KSA25) bagi acara bola jaring telah melabuhkan tirainya dengan penuh semangat dan sorakan di IWK Eco Park semalam. Pertandingan yang berlangsung dengan penuh persaingan sihat ini menyaksikan penyertaan hebat daripada pelbagai pasukan dalam tiga kategori utama: Junior, Open dan Senior.
Kategori Junior menyaksikan pasukan ANSARA Batu Pahat mendominasi gelanggang dengan aksi cemerlang yang menobatkan mereka sebagai juara. Tempat kedua disandang oleh ANSARA Parit, manakala ANSARA Kuantan pula meraih tempat ketiga setelah perlawanan yang cukup sengit.
Bagi Kategori Open, pasukan ANSARA Pasir Salak berjaya mengungguli kedudukan teratas dan membawa pulang pingat emas. ANSARA Kuala Kubu Bharu tidak kurang hebatnya apabila muncul naib juara, manakala Merbok menamatkan kempen mereka di tempat ketiga.
Sementara itu, dalam Kategori Senior, pengalaman nyata menjadi kelebihan apabila ANSARA Terendak berjaya mengatasi pencabar lain dan muncul juara. ANSARA Kuantan sekali lagi menunjukkan prestasi mantap dengan meraih tempat kedua, manakala ANSARA Besut mengekori rapat di tangga ketiga.
Kejohanan ini bukan sahaja menampilkan bakat-bakat terbaik dari seluruh ANSARA, malah menjadi platform memperkukuh semangat perpaduan dan kesukanan dalam kalangan komuniti ANSARA.
Tahniah kepada semua pemenang dan syabas kepada semua pasukan yang bertanding!






